Friday 1 July 2011

Kejutan hari lahir Baki

fASIH berceloteh dalam bahasa Mandarin, pengacara berbangsa Melayu, Baki Zainal agak terkedu dengan kejutan daripada syarikat yang menguruskannya, Giant Antz Sdn. Bhd., sempena hadiah ulang tahun kelahirannya yang ke-30 pada 16 Mei lalu.
Pengacara program berbahasa Mandarin terbitan 8TV, Step Forward itu memberitahu, dia menerima hadiah paling istimewa sepanjang hidupnya iaitu tajaan untuk melakukan aktiviti ekstrem bungee jumping dari puncak menara tertinggi di Macau iaitu Macau Tower.
Ujar Baki, dia langsung tidak menyangka bahawa pengurusnya, Alan Thoo akan mengeluarkan belanja yang begitu besar semata-mata untuk meraikan sambutan hari lahirnya di negara yang terkenal dengan keindahan panoramanya itu.
“Pada awalnya, Alan hanya memaklumkan bahawa dia ingin meraikan sambutan ulang tahun kelahiran saya di luar negara.
“Walaupun didesak, Alan tetap dengan pendiriannya untuk merahsiakan destinasi percutian yang bakal kami tuju.
“Bagaimanapun, apabila sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), barulah saya tahu bahawa kami akan ke Hong Kong,” jelas Baki yang terkesima ketika menerima kejutan yang diberi oleh syarikat pengurusannya itu.
Tambah Baki, dia bersama pengurusnya kemudian menyusuri sungai dengan menaiki sebuah feri mewah untuk menuju ke Macau.
Menurut Baki lagi, ‘meter’ keterujaannya yang mencanak sejak menjejakkan kakinya di bumi asing itu tiba-tiba menurun tatkala menara tersebut semakin hampir berada di hadapan matanya.
“Bayangkan, ia adalah bungee jumping tertinggi di dunia pada ketinggian 338 meter atau 1,109 kaki.
“Siapa sahaja akan kecut perut untuk melakukan terjunan walaupun ia adalah sukan ekstrem yang menjadi aktiviti kegemaran saya,” cerita hero filem Sini Ada Hantu itu.
Menceritakan perasaannya ketika membuat terjunan, Baki berkata, dia cuma memerlukan masa 15 saat untuk menenangkan diri sebelum melompat untuk terjun dari menara tersebut.
Menurut Pengasas Malaysia Celebrities Go Green itu, dalam tempoh lima saat, fikirannya kosong tanpa mampu berfikir apa-apa kerana ketakutan.
“Selepas itu, barulah mulut saya yang terkunci rapi dari tadi menjerit sekuat-kuatnya tanda kepuasan. Saya rasa macam superman.
“Hingga ke hari ini, saya bagaikan tidak percaya sudah melakukan bungee jumping dari antara puncak menara yang tertinggi di dunia,” katanya yang bakal muncul sebagai pengacara program realiti Sejuta Impian di TV3.

No comments: