Wednesday 13 July 2011

Air mata lelaki

ASSALAMUALAIKUM! Baru-baru ini wartawan sebuah majalah mengemukakan beberapa soalan yang Pak Nil perlu jawab dengan satu ayat pendek. Antara yang menarik adalah soalan ‘Apakah yang boleh membuat Pak Nil menangis?’ Secara lucu Pak Nil jawab: “Apabila ada pelajar AF yang tersingkir.”
Hahaha! Namun selepas itu, Pak Nil tertanya-tanya, kenapa diminta jawapan pendek untuk soalan yang memerlukan jawapan panjang? Oleh itu, hari ini Pak Nil ingin menjawabnya secara terperinci supaya dapat memuaskan kehendak hati untuk berkongsi.

Setahu Pak Nil, ada beberapa sebab yang membuat hati Pak Nil tersentuh dan cepat menangis. Pak Nil tidak boleh tengok orang menangis. Secara automatik, Pak Nil juga akan mengalir air mata. Walaupun orang itu menangis gembira, Pak Nil turut sama mengalirkan air mata! Perkara ini memang sejak dulu lagi ada dalam diri Pak Nil. Kadangkala bila menonton wayang cerita sedih pun, Pak Nil boleh menangis. Menangis bukan sikit-sikit pula tu! Ada orang yang malu untuk menunjukkan tangisannya, terutama si lelaki macho yang rasa akan hilang kejantanannya apabila dilihat menangis.

Pernah Pak Nil tanya seorang rakan bila masa dia menangis dan jawapannya, apabila dia bersendirian. Pak Nil tertanya juga, hilangkah kelelakian seseorang itu apabila dia dilihat menangis? Pak Nil rasa tidak, malah lelaki yang menangis ini menunjukkan dia mempunyai sifat insan yang total. Wallahualam.

Balik pada cerita Pak Nil, apa lagi yang boleh membuat Pak Nil menangis? Tentunya bila Pak Nil melihat nasib malang yang menimpa kanak-kanak dan bayi. Aduh! Luluh rasa hati.

Bila terlihat gambar di akhbar mengenai kanak-kanak Palestin yang tercedera dan yang menangisi pemergian ibu bapa mereka yang terkorban. Remuk rasa hati Pak Nil dan seketika itu juga air mata pasti terlerai.


Tak terbayang anak-anak yang tidak tahu apa-apa itu tiba-tiba ditimpa musibah besar. Begitu juga dengan berita pembuangan anak. Cukup menghairankan jika ada orang, tak kira lelaki atau perempuan, mampu membaca berita itu sama seperti membaca berita biasa yang lain.

Cerita pembuangan bayi ini tidak wujud pada zaman Pak Nil dulu-dulu tetapi kini makin berleluasa. Melihat jasad bayi yang tergolek di tempat sampah, dihanyut air sungai atau yang dihumban dari tingkat atas rumah pangsa sememangnya sangat menyayat hati. Secara automatik pasti air mata Pak Nil bergenang.


Insan Tuhan yang secomel itu rupa-rupanya gagal menarik perhatian pelaku untuk menyayangi mereka. Lebih menyedihkan bila Pak Nil seolah-olah dibawa berada di tempat kejadian ketika kekejaman itu terjadi dan seolah-olah Pak Nil boleh dengar tangisan anak comel itu tetapi tidak mampu melakukan apa-apa.

Pak Nil akan menangis juga bila berdepan anak-anak yang menderita kesakitan. Ada anak-anak kehilangan ibu bapa sejak kecil. Ada anak-anak didera, dipaksa bekerja, dirogol, terbabit dalam kemalangan jalan raya, tidak mendapat pelajaran, kurang upaya dan sebagainya.

Dalam sehari memang tidak sah jika Pak Nil tidak menitiskan air mata kerana cerita ini yang pasti akan menjadi bahan berita di dada akhbar.

Begitu juga segmen Merisik Khabar yang Pak Nil selenggara di Riuh Pagi Era setiap hari jam 9 pagi. Pasti Pak Nil terima pelbagai cerita yang menyayat hati. Kadangkala cerita yang dikhabarkan di luar dugaan Pak Nil dan ada yang seperti sinopsis drama sinetron pula.

Bila mendengar cerita mereka, perasaan Pak Nil terusik dan terfikir betapa beruntungnya kehidupan Pak Nil. Sejak mengendalikan Merisik Khabar, Pak Nil belajar berhenti mengeluh mengenai kehidupan dan bersyukur dengan pemberian-Nya.

Ketika menghubungi mereka yang menghantar SMS untuk segmen itu, Pak Nil kadangkala tidak dapat menahan sebak. Namun seberat mata kita yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mana yang termampu, Pak Nil bantu walaupun ia hanya sebaris nasihat.

Satu perkara lagi yang boleh membuat Pak Nil mengalir air mata adalah orang tua. Tidak kira siapa. Hati ini cepat tersentuh. Pada wajah orang tua ini seperti tersirat pelbagai liku perjalanan kehidupan.

Kalau bertemu lelaki tua, Pak Nil terus rindukan ayah Pak Nil dan begitu juga bila bertemu warga tua perempuan. Wajah ibu di rumah pasti cepat terbayang. Cara mereka merenung mata Pak Nil, semuanya sama. Penuh dengan kasih sayang walaupun ada yang baru pertama kali berjumpa.

Namun perasaan ini lebih tersentak bila ada juga manusia yang tiada hati perut dan sanggup menganiaya mereka. Ada anak meninggalkan ibu bapa yang tua tanpa khabar berita di kampung semata-mata sudah senang bersama keluarga masing-masing. Ada juga yang sanggup menghunus parang pada ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan wang membeli dadah! Lebih parah, ada yang sanggup memenggal kepala ibu bapa kerana terdengar bisikan syaitan! Sedih ia berlaku kerana orang tua menjadi sangat tidak bermaya dan menyerahkan saja nasib mereka sama seperti bayi.

Paling tidak dapat ditahan-tahan air mata ini apabila bercakap dengan Tuhan setiap kali solat dan berdoa. Malu dan terkilan apabila Pak Nil mengaku kesilapan dan dosa yang dilakukan dan meminta ampun daripada-Nya.

Pak Nil tahu Dia maha mendengar dan disebabkan itu, setiap kali berdoa wujud rasa keinsafan dan kesyukuran. Insaf sebab Tuhan terus memberi peluang untuk Pak Nil terus hidup dan menebus dosa semalam dan syukur kerana Allah terus-terusan melimpahkan apa yang dipanjatkan.

Ketika berdoa, terasa sangat seperti Dia benar-benar mendengar dan air mata ini mengalir lagi kerana Allah satu-satunya tempat Pak Nil mengadu mengenai perjalanan hidup.

Lega rasanya bila semua diperah. Bagai perubatan jiwa pula tangisan ini dan semua kesakitan rasanya mengalir keluar bersamanya.

Jadi Pak Nil tak malu untuk mengaku Pak Nil juga menangis dan tak juga rasa hilang kelelakian bila menangis. Namun ada juga yang kata, Pak Nil cepat menangis dan tersentuh kerana faktor usia. Betul ke? Wassalam.

No comments: