Monday 27 June 2011

Seniwati Azean Irdawaty Mohon Diberikan Kerja !

Susah Media nak ungkapkan betapa kasihannya mengenangkan nasib seniwati atau ratu air mata, Azean Irdawaty yang terpaksa meminta belas kasihan beberapa rakan terdekat bagi membantu keadaannya yang sangat memerlukan.

Lebih memilukan lagi apabila dia sanggup menawarkan diri untuk bekerja, walaupun keadaan kesihatannya ketika ini tidak mengizinkan. Semuanya itu dilakukan bagi menyara kos perubatan dirinya dan perbelanjaan turun naik mahkamah anak terunanya, Benjy.

Dalam kiriman SMS yang diberikan Azean Irdawaty kepada seorang teman, media difahamkan dia meminta jasa baik individu berkenaan sekiranya sudi mengambilnya berlakon sebagai satu cara untuk dia meringankan beban hidupnya pada masa ini.

Dalam kiriman SMSnya itu, dia sememangnya sangat memerlukan bantuan wang ringgit dalam masa terdekat.

Memanglah bunyi SMS itu sangat terdesak, tapi sekiranya media berada di dalam keadaan Azean Irdawaty sekalipun, pasti dia akan mencari jalan untuk menyelesaikan kesempitan yang dialami.

Apa yang membanggakan media, pendekatan yang digunakan pelakon veteran berkenaan tidak ada salahnya.

Kerana dia sama sekali tidak meminta dengan tangan kosong, sebaliknya menawarkan kudrat dan kemampuan yang ada untuk bekerja dan mendapatkan gaji yang diberkati.

Terasa syahdu pula Media dibuatnya.

Manakan tidak, dalam keadaan kesihatan Azean Irdawaty yang tidak mengizinkan, dia sepatutnya berehat di rumah, tapi demi untuk membantu anak tersayang, dia sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.

Media difahamkan, kos rawatan perubatan Azean Irdawaty bukannya murah. Ditambah pula dengan bebanan kes perbicaraan Benjy yang masih belum selesai. Ia juga perlu dihadapi Azean Irdawaty sekeluarga.

Dalam hal ini, Azean Irdawaty bukannya meminta-minta, tetapi dia bertanyakan jasa baik teman terdekat untuk membantunya mendapatkan pekerjaan bagi membolehkan dia mendapatkan wang tambahan.

Jadi Media berharap sangat, sekiranya ada mana-mana pengarah atau produser drama di luar sana yang terbaca luahan rasa Media ini, janganlah kedekut untuk menawarkan apa juga watak untuk seniwati kita seorang ini.

Mungkin inilah masanya untuk kita membantu seseorang yang sangat memerlukan. Mungkin sekarang masa Azean Irdawaty dalam kesusahan, mana tahu suatu masa nanti masa kita pula memerlukan.

Begitu juga, jika ada yang sudi menghulurkan bantuan peribadi kepada Azean Idawaty sekeluarga. Nasihat Media Inilah masanya untuk kita berbuat demikian demi meringankan beban yang ditanggungnya.

Kepada yang bermurah hati, bolehlah menghubungi Azean Irdawaty di talian 012-3036298.

No comments: